top of page

Gaya hidup dan penyakit-penyakit tidak berjangkit dalam kalangan masyarakat

Updated: Mar 15, 2023

"Penyakit-penyakit tidak berjangkit" ialah suatu istilah umum yang merujuk kepada penyakit-penyakit yang tidak boleh dipindahkan daripada satu individu kepada individu yang lain melalui medium sentuhan, cecair badan mahupun udara. Istilah pokok ini merangkumi penyakit-penyakit yang sering dikaitkan dengan gaya hidup dan tabiat seseorang individu atau sesebuah kelompok masyarakat.


Antara penyakit-penyakit tidak berjangkit yang sering dihidapi oleh masyarakat dunia umumnya dan rakyat Malaysia khususnya ialah darah tinggi, kencing manis, penyakit jantung, penyakit buah pinggang, masalah paru-paru, barah dan obesiti.


Professor Madya Fatma Al-Maskari dari Jabatan Perubatan Komuniti Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Emirat Arab Bersatu ada menyebut melalui tulisannya di dalam laman sesawang UN Chronicles bahawa penyakit-penyakit yang berkaitan dengan gaya hidup sering berkongsi faktor-faktor risiko yang sama iaitu pendedahan kepada tingkah laku seharian yang berisiko tinggi seperti tabiat merokok, pemakanan yang tidak seimbang dan kekurangan aktiviti fizikal. Tabiat-tabiat yang tidak sihat ini menyumbang kepada penyakit-penyakit kronik seperti yang disebutkan sebelum ini.


Meskipun sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat, tetapi penyakit-penyakit ini meningkatkan ketidakupayaan seseorang, mengurangkan keupayaan seseorang untuk berdikari, malah boleh menyumbang kepada maut. Sekiranya dilihat daripada skala yang lebih besar, penyakit-penyakit yang dipandang sering enteng ini menyumbang kepada peningkatkan kadar ketidakhadiran ke tempat kerja dan pengambilan cuti sakit, sekaligus mengurangkan produktiviti sesuatu institusi khususnya dan sesebuah negara amnya. Beban ekonomi yang ditangguh oleh fasiliti kesihatan juga meningkat.


Walaubagaimanapun, risiko terhadap penyakit-penyakit ini dapat dikurangkan melalui pengubahsuaian gaya hidup. Pola pemakanan yang seimbang, pengurusan stress yang berkesan, pengamalan gaya hidup yang aktif dan pengurangan tingkah laku yang berisiko merupakan kunci utama dalam mengurangkan kadar penyakit-penyakit yang tidak berjangkit.


Antara perubahan yang perlu dititikberatkan dalam corak pemakanan dalam kalangan rakyat Malaysia ialah pengurangan pengambilan gula, garam serta makan bersantan, selain daripasa porsi makanan yang seimbang dan peningkatan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan. Sebagai contoh, pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Panduan Diet Malaysia yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mencadangkan had pengambilan gula tidak melebihi 50g sehari, bersamaan dengan 4 sudu teh gula. Jumlah ini perlulah mengambil kira pengambilan gula dalam bentuk makanan dan minuman.


Antara usaha kerajaan dalam mempromosikan corak pemakanan yang sihat adalah melalui kempen Pinggan Sihat Malaysia #sukusukuseparuh dan pengemaskinian Piramid Makanan Malaysia 2020. Tip-tip yang berguna untuk meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dan strategi pengurangan pengambilan garam di tempat kerja juga boleh ditonton melalui laman Youtube NutritionistKKM.


Selain itu, pengamalan gaya hidup yang aktif juga boleh membantu untuk mengurangkan kadar penyakit-penyakit kronik ini. American College of Sports Medicine (ACSM) menyarankan setiap orang dewasa untuk melakukan aktiviti fizikal pada kadar intensiti sederhana dengan jumlah 150 minit seminggu, atau pada kadar intensiti tinggi dengan jumlah 75 minit seminggu, atau gabungan kedua-dua kadar intensiti dengan jumlah 90 minit seminggu. Penetapan kadar intensiti atau kesukaran sesuatu aktiviti fizikal boleh dirujuk dalam artikel ini. ACSM juga menyarankan supaya senaman yang berfokus untuk meningkatkan kekuatan dan ketahanan otot dilakukan sekurang-kurangnya 2 kali seminggu, melibatkan semua kumpulan otot.


Antara saranan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kepada pihak majikan bagi menggalakkan pekerja mengamalkan gaya hidup yang aktif ialah mewujudkan trek laluan berjalan kaki bagi mencapai matlamat amalan 10,000 langkah sehari, kempen Jom Guna Tangga bagi meningkatkan keupayaan sistem kardiovaskular yang melibatkan jantung dan paru-paru, menguatkan dan memantapkan otot kaki khususnya dan otot badan keseluruhan secara amnya. Aktiviti regangan ringkas di tempat duduk dan dilakukan di antara waktu bekerja juga mampu meningkatkan kecergasan dan daya tumpuan pekerja. Antara lain, Kementerian Kesihatan Malaysia juga mencadangkan alternatif aktiviti fizikal berjadual, pertandingan sukan, dan sudut kecergasan bagi menggalakkan aktiviti fizikal dalam kalangan pekerja.


Secara konklusinya, pelbagai saranan telah dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai strategi bagi mengatasi peningkatan kadar penyakit-penyakit tidak berjangkit di Malaysia. Strategi ini kebanyakannya berfokus kepada penguabahsuaian tabiat dan gaya hidup masyarakat Malaysia. Perubahan dalam gaya hidup dan tabiat seseorang mahupun sesebuah masyarakat memerlukan komitmen yang tinggi serta tekad yang teguh dalam memastikan komuniti masa hadapan Malaysia yang lebih sihat.


Kami di bestcarephysiotherapy.com menyediakan sesi konsultasi secara atas talian, servis pengurusan berat badan, program senaman secara berkumpulan serta program senaman bagi penyakit-penyakit tidak berjangkit yang dikendalikan oleh pakar-pakar kesihatan yang bertauliah dan terlatih. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang servis-servis yang kami sediakan, sila klik di sini.


Rujukan

Al-Maskari, F. (n.d.). Lifestyle diseases: An economic burden on the health services. United Nations. Retrieved October 3, 2021, from https://www.un.org/en/chronicle/article/lifestyle-diseases-economic-burden-health-services.


American College of Sports Medicine. (n.d.). Physical activity guidelines resources. ACSM_CMS. Retrieved October 3, 2021, from https://www.acsm.org/read-research/trending-topics-resource-pages/physical-activity-guidelines.


Kementerian Kesihatan Malaysia. (2011, September 6). Fakta Mengenai Gula. PORTAL MyHEALTH. Retrieved October 3, 2021, from http://www.myhealth.gov.my/fakta-mengenai-gula/.


Kementerian Kesihatan Malaysia. (2020). Kospen plus - Hidup Yang Aktif. Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia. Retrieved October 3, 2021, from https://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/2396?mid=809.


Kementerian Kesihatan Malaysia. (2020). Piramid Makanan Malaysia 2020 – Mendidik Rakyat Mengambil Makanan Dengan Betul. Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia. Retrieved October 3, 2021, from https://www2.moh.gov.my/index.php/pages/view/2725.


YouTube. (2017). Tips Amalan Makan Buah dan Sayur. YouTube. Retrieved October 3, 2021, from https://www.youtube.com/watch?v=BVdgnYmQIAo.


YouTube. (2020). Pengawalan Garam di Tempat Kerja. YouTube. Retrieved October 3, 2021, from https://www.youtube.com/watch?v=MwlB8CjpRW8.




Wan Nurul Islamiah binti Wan Ahmad

Ahli Fisioterapi, Pakar Senaman Klinikal

Pelajar Sarjana Sains (Sains Senaman Klinikal) (USM)

Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi (UIAM)


63 views0 comments
Post: Blog2_Post
bottom of page